RSS

Monday, January 25, 2010

Sedikit Renungan Bersama...

Alhamdulillah, blog ini berjaya disiapkan. Kemungkinan anda semua banyak melihat thread ataupun website yang menawarkan barangan mistik dan agak misteri. Mungkin terlintas di fikiran anda tentang beberapa perkara seperti :-

1. Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s.membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka

2. Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin. Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau as-Sunnah?

Ini adalah temubual seorang wartawan bersama Ustaz Dato' Dr Haron Din, Pada tahun 2004


Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnyakepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka.

Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayukoka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras.Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul.

Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk 'madi' seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam. Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam bersabdanya (mafhumnya); "Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT." (Hadis sahih) Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan.

Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan. Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen yang pembeli atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya. Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya.

Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah. Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja. Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya. Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan yang termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit. Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat. Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti 'assina' dan 'assinut'. Dalam al-Quran disebut 'at-tiin', 'az-zaytun', 'ar-rummaan', 'an-nahiil' dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.

Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu. Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain. Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan. Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.

Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT. Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang. Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, "Aku melintasi rumahmu dan aku mendengarkamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian."Umar menjawab; "Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya." Lalu Nabi berkata kepadanya, "Perlahankan sedikit."


KOMEN SAYA :

Kayu Kokka & Masalah Aqidah

Ramai bertanya kepada saya berkenaan keajaiban kayu kokka. Sebenarnya saya telah lama menyatakan berkenaan Kayu kokka ini sejak dari Jordan, saya juga sempat bertemu dengan penjual utama kayu kokka semasa berada Jordan. Selepas perbincangan, penjual ini mengakui bahawa tiada sebarang hujjah yang boleh dipakai untuk mendakwa kesohihan dakwaan sejarah kayu ini.

Saya juga telah berusaha mencari apa jua hadith dari beratus buah kitab-kitab hadith berkenaan kayu ini, malangnya tiada satu pun hadith berkenaannya. Saya juga sempat bertanya kepada Al-Marhum Syeikh Atiyyah Saqar ketika menziarahi beliau di rumahnya di Mesir pada tahun 2004. Beliau menyatakan sesiapa yang mempercayai kayu ini adalah orang-orang yang jahil. Itulah yang disebut oleh Syeikh Atiyyah.

Selain itu, saya juga sempat berbincang dengan Syeikh Prof. Dr Abd Malik As-Sa'di (Ulama Iraq yang menjadi pensyarah di Univ Mu'tah Jordan), beliau mengatakan pemakai cincin kokka, rantai, tasbih dan lain-lain dengan kepercayaan akan kehebatan ghaib kayu yang boleh mendatangkan kesan baik atau menolak keburukan, ia termasuk dalam kategori tangkal yang membawa hukum syirik. Dari sudut hukum jual beli Ringkasnya, penjual kayu ini juga kerap mewarwarkan 'kuasa ghaib' kayu ini, menurut hukum Shariah sebegini adalah haram tanpa syak lagi kerana telah berfunsgi seperti bomoh yang meramalkan hal ehwal ghaib.


Sekian,


Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

15 Jun 2007


No comments:

Post a Comment